Ia mungkin kelihatan pelik dan menggelikan. Pasti ramai yang terfikir dan tertanya-tanya: 'Tidakkah acara itu akan mengotorkan bandar ataupun bagaimanakah pula mahu membersihkan diri selepas itu?'
Namun, itulah tradisi yang diraikan sejak hampir 500 tahun dahulu oleh penduduk sebuah daerah di Sepanyol.
Kebanyakan orang pasti biasanya mahu mengelakkan jari atau tangan mereka daripada terkena gris hitam apabila melakukan sesuatu pekerjaan terutamanya yang berkaitan pemotoran atau pembinaan.
Namun, lain pula ceritanya dengan warga di utara Granada. Mereka bukan sahaja membiarkan tangan dan muka mereka terkena gris, bahkan melumurkan seluruh tubuh menggunakan pelincir hitam tersebut.
Lebih unik dan mengejutkan, ia dilakukan secara besar-besaran dan melibatkan ribuan orang. Bagaikan sebuah pesta riang ria, wajah dan tubuh yang comot itu dilihat sebagai suatu keseronokan.
Tanpa segan silu, pemuda dan pemudi yang telah 'kehitaman' dan berminyak itu berjalan kaki dalam perarakan sejauh tiga kilometer. Mereka bergerak dari sebuah pekan yang dipanggil Guadix ke pekan Baza.
Namun, jangan silap, ia bukanlah satu upacara pemujaan atau parti anjuran oleh peminat gothik.
Mengimbau asal-usul kisah pesta yang dinamakan Cascamorras itu, ia menceritakan tentang sejarah pertelagahan penduduk di dua pekan iaitu Guadix dan Baza suatu ketika dahulu.
Pergaduhan tercetus apabila penduduk Guadix mahu merampas semula sebuah patung suci, Virgen de la Piedad, yang dipercayai telah dicuri dan diletakkan di sebuah gereja di Baza.
Bagaimanapun, penduduk Baza menetapkan syarat iaitu individu yang mahu mengambil patung itu boleh datang ke Baza, tetapi orang berkenaan hanya boleh mengambil patung tersebut sekiranya pakaiannya langsung tidak terkena sebarang kotoran.
Selepas pertelagahan penduduk dari kedua-dua tempat itu berakhir secara damai, peristiwa tersebut terus diingati sehingga hari ini dan ia disambut pada tarikh 6 September setiap tahun.
No comments:
Post a Comment